A

Membuat Hompej Sendiri

Di sini saya nak kongsi sedikit pengalaman membuat hompej ini. Manalah tahu kalau boleh dijadikan pedoman juga dorongan untuk kawan-kawan yang teringin menghasilkan hompej sendiri tetapi tak tahu di mana nak mula.

Saya cadangkan untuk mereka yang ingin mula membuat hompej agar bermula dengan asas HTML terlebih dahulu. Perlu saya tekankan di sini, menghasilkan sebuah webpage memang mudah tetapi untuk menghasilkan webpage yang baik memerlukan expertise dan mempunyai kesedaran seni yang baik. Bagi saya penghasilan webpage lebih merupakan satu seni berbanding kecekapan.

Untuk menghasilkan fail HTML tidak memerlukan sebarang pengalaman programming malah tidak dipanggil programming. Oleh sebab itu, orang tidak menggunakan perkataan html programming tetapi html scripting. Dengan kata lain, fail html adalah seperti satu skrip mudah yang boleh difahami kebanyakan orang dan boleh dihasilkan oleh sesiapa sahaja.

Dulu saya menggunakan buku "Learning HTML 4.0 in 10 Minutes" sebagai panduan dan program notepad untuk menghasilkan hompej terawal saya. Ada banyak website yang mengajarkan asas HTML jadi tak perlu saya huraikan lagi. Secara asasnya, yang penting dalam HTML ialah seperti berikut.

  1. Setiap fail perlu mempunyai extension .htm atau .html.
  2. Setiap tag (contoh <table>, ) perlu diakhiri dengan tag penutup (contoh </table>).
  3. Setiap fail html perlu mempunyai 3 tag asas iaitu html, head dan body bermula dengan tag <html> dan diakhiri dengan tag </html>.

Ini sahaja asas yang diperlukan untuk bermula. Sebagai contoh, satu fail html yang ringkas ialah seperti:

<html>
<head>
</head>
<body>
HTML? Kacang je...
</body>
</html>

Taipkan skrip ini dalam notepad dan save sebagai fail html seperti "contoh.htm" dan view dalam web browser. Senang ? Tapi kalau nak buat hompej yang bak kata Colonel Sanders complete wholesome, kenalah belajar tag-tag html yang lain berserta attribute yang berkaitan. Kalau nak tukar font, tambah tag <font face=Arial> di sebelum ayat yang kita hendak tulis dan diakhiri dengan tag </font>. Kalau ikut contoh tadi, hasilnya macam ni :

<html>
<head>
</head>
<body>
<font face=Arial>HTML? Kacang je...</font>
</body>
</html>

Maka jadilah page yang serupa tapi dengan font yang lain. Berdasarkan contoh ini, font ialah tag child kepada <body> sebab ia perlu berada di antara tag <body> dan </body> dan face adalah attribute nya. Attribute lain yang biasa digunakan bersama tag <font> ialah size, color dan align.

Satu lagi tag yang penting ialah tag <img> yang digunakan untuk memasukkan gambar ke dalam laman web. Kalau nak contoh, tengok sorce code laman ni, ada tag img yang digunakan untuk memaparkan gambar Shin Chan.

Nampak macam susah tapi tak susah pon bila dah biasa. Cara paling mudah nak belajar ialah dengan memeriksa source code sesebuah laman web itu. Jika menggunakan Internet Explorer, pilih menu view dan kemudian pilih source. Kalau Netscape pon lebih kurang sama.

Dah reti sikit-sikit tu, barulah bergerak kepada hompej editor seperti Microsoft Frontpage atau Macromedia Dreamweaver. Bila dah tahu asas, senanglah kita nak edit html secara terus tanpa perlu bergantung pada editor. Ini kerana, kalau kita nak ubah sesuatu yang dah di publish dalam web, adalah lebih cepat jika kita ubah sendiri skrip html itu secara on-line.

Apabila dah boleh buat webpage dengan pelbagai warna dah grafik, fail-fail html dan imej itu perlu diupload ke server. Ada banyak perkhidmatan untuk menghoskan webpage, tetapi dengan sedikit 'bayaran'. Webpage anda akan dikaitkan dengan iklan atau banner, mengikut kehendak pemilik server berkenaan. Saya menggunakan server tripod kerana mereka menyediakan url yang menarik, dengan saiz storan yang sederhana (20 MB).

Belajar html sahaja sudah cukup untuk menghasilkan webpage yang baik. Tapi kalau nak lebih best lagi, kenalah berjinak-jinak dengan Javascript, DHTML, Flash, CGI, ASP, XML dan sebagainya. Ada banyak tutorial dalam internet ni, skrip percuma pon banyak... rajin-rajinlah cari. Saya pon belajar macam tu :)

Selamat mencuba.

 

Selamat Datang ¤ Keluarga ¤ Sekolah ¤ Buat Laman Web ¤ Album