A

dari tadika hingga ke universiti...

Di halaman ini saya ingin berkongsi sedikit pengalaman saya dengan pengunjung mengenai tempat-tempat yang pernah saya kunjungi dalam menuntut ilmu.

Perhatian: Bilangan sekolah tidak berkadar dengan kepandaian seseorang ! - kata pujangga

Saya mula-mula masuk tadika semasa saya tinggal di Kuala Lumpur (macam sekarang). Tadika yang diberi nama Tadika Wirawati tu tak jauh dari rumah, mungkin 1 kilometer sahaja dan terletak di Kg. Klang Gate. Tadika tu kira hebat jugak dulu sebab ada kolam mandi, tapi kolam tu kolam getah yang kena tiup dulu. Saya tak pernah merasa mandi dalam kolam tu sebab kalau nak mandi kena pakai underwear dan perasaan malu yang tebal menghalang langkah saya untuk ke kolam itu. Ada kawan-kawan yang mandi setiap minggu tapi saya lebih rela main benda lain ketika itu. Saya lulus tadika dengan jayanya tetapi gambar graduasi saya kurang cantik kerana muka saya luka gara-gara mengeluarkan kepala ke luar tingkap bas semasa bas berselisih dengan pokok beberapa hari sebelum itu.

Setelah dua tahun di tadika , saya dimasukkan ke sekolah rendah yang dekat dengan rumah iaitu Sekolah Rendah Kebangsaan Taman Melawati. Saya mula masuk ke kelas 1 Mawar dan di situ saya mula mengenali dengan lebih ramai kawan. Begitu juga apabila naik ke darjah dua dan tiga (2 dan 3 Bakawali). Antara peristiwa yang masih saya ingat adalah apabila cikgu kelas merotan hampir kesemua orang dalam kelas sebab salah mengira bilangan tapak dari belakang ke hadapan kelas. Cikgu Samsun yang mengajar semasa saya darjah tiga itu juga sering sakit jantung dan jarang dapat kami jumpa lagi selepas dia jatuh sakit. Peristiwa lagi satu ialah dulu saya tak tahu pun bakawali tu sejenis bunga dan sampai sekarang saya belum pasti rupa bunga bakawali yang sebenar.

Kemudian setelah habis darjah tiga, keluarga saya berpindah ke Ipoh dan saya dimasukkan ke Sekolah Rendah St. Michael 2, Ipoh. Sekolah ini merupakan sekolah non-coed yang pertama bagi saya. Saya mula masuk ke kelas 4 Merah yang dijaga oleh guru kelas Pn Kong yang juga mengajar kami matematik. Gambar Kelas, 9K

Kelas-kelas semasa di darjah 5 dan 6 ialah 5 dan 6 Biru. Semasa di sana, saya banyak memesan susu dari Projek Susu Sekolah melalui guru yang ditugaskan iaitu Mr Chew. Selain tu, pihak Vitagen pon selalu datang menjual Vitagen yang hampir luput tarikhnya pada harga murah. Satu peristiwa penting semasa saya bersekolah di sana terjadi semasa saya ketinggalan bas sekolah. Saya yang tidak pandai naik bas pekan cuba tunggu bas itu tetapi sebab lama sangat saya mengambil keputusan untuk jalan kaki saja ke rumah di Taman Maju Rapat, dekat dengan Lapangan Terbang Ipoh. Saya pon berjalanlah lebih kurang 7 kilometer agaknya semata-mata sebab tak pandai naik bas pekan. Tapi sekarang dah pandai. Saya ada menyimpan gambar kelas darjah 6 di sini.

Habis UPSR, keluarga saya berpindah ke Kota Kinabalu. Saya dimasukkan ke sebuah sekolah berasrama penuh di sana iaitu Sekolah Berasrama Penuh Sabah. Di sekolah ini saya mula belajar hidup tanpa keluarga berada di samping saya. Masuk ke sana terpaksa hidup seperti pembantu senior. Dari membasuh kain hingga mengurut semua kena buat. Tapi bagi saya semua tu tak seteruk seperti yang di alami oleh pelajar sekolah berasrama lain di semenanjung. Pemandangan di sekolah memang menarik. Setiap pagi kelihatan Gunung Kinabalu disinari matahari pagi, sejuk mata memandang. Saya dimasukkan ke kelas 1,2 dan 3 Delta sepanjang persekolahan saya di sana dan saya menduduki peperiksaan PMR di sana.

Kemudian keluarga saya pulang ke Kuala Lumpur dan terus menetap di sini sehingga sekarang. Saya belajar di Sekolah Alam Shah (SAS) untuk tingkatan 4 dan 5. Mula-mula masuk ke sekolah ini, saya tengok semua orang macam pandai-pandai. Pakaian pun ada gaya dan stail tertentu. Makanan pula memang tak sedap. Tapi saya kira bernasib baik sebab tak perlu makan makanan sama untuk lima tahun berbanding dengan mereka yang lebih lama di sana. Semasa tingkatan 4 saya masuk ke kelas 4 Usaha yang dijaga oleh Pn. Sabariah guru fizik. Dia memang baik dan pernah menjemput kami ke rumahnya untuk jamuan raya. Seorang lagi guru yang baik hati ialah Pn. Norlia guru mentor saya. Dia menjaga kebajikan kami dan kami dijemput ke rumah beliau sekali setiap tahun. Dia juga merupakan guru biologi semasa saya di tingkatan 5. Semasa naik ke tingkatan 5, saya dimasukkan ke kelas 5 Cita. Kelas yang paling bising bila takde kerja tapi paling senyap bila sibuk. Guru kelas saya ialah Pn. Rohani guru matematik tambahan.

Tamat SPM saya mendapat tawaran belajar ke United Kingdom dan bila result dah keluar, saya dimasukkan ke PPP Shah Alam untuk persediaan selama sebulan setengah. Cuma perlu belajar English, Agama Islam dan Kenegaraan tanpa exam. Kemudian dihantar ke UK untuk A-Level. Saya mendapat tempat di Epsom College, Epsom, Surrey yang terletak kira-kira 30 minit perjalanan keretapi ke tengah London. Kolej ini bakal menyambut ulang tahun ke-150 pada tahun 2004. Lama jugak lah kolej ni dah wujud. Ramai juga orang Malaysia di sana terutamanya orang Cina. Kebanyakan mereka dari Sekolah Garden. Orang Melayu juga agak ramai, batch saya sahaja ada 6. 3 tajaan Petronas dan 3 tajaan JPA (termasuk saya). Antara kami ada 2 orang pelajar SAS.

Memang seronok belajar di sana. Walau pun sibuk sebab belajar 6 hari seminggu tapi bila hujung minggu rakan-rakan Melayu termasuk senior akan berkumpul. Biasanya kami adakan makan dan sebagainya. Bagi yang satu batch pula, kami biasa akan lepak bersama, duduk menyanyi dengan gitar, keluar bandar bersama, main badminton dan macam-macam. Masuk hari Isnin kami kembali ke house masing-masing dan buat hal masing-masing, sehingga bertemu semula di cafeteria untuk breakfast, lunch, dan dinner !! Gambar Epsom, 7K

Antara pengalaman yang tak dapat dilupakan ialah semasa ada rakan kami yang terkandas di stesen keretapi dari London ke Epsom mengajak yang lain lepak bersama mereka. Kami pergi ke sebuah McDonald's 24 jam di kawasan Leicester Squre dan order kopi setiap jam sampai ke pagi. Bila pagi, mereka yang terkandas meneruskan perjalanan dan kami yang lain balik ke Malaysia Hall untuk berkemas dan balik ke kolej masing-masing. Sini ada gambar di Epsom, semasa kami hendak 'balik London'.

Satu lagi peristiwa yang tak dapat dilupakan ialah semasa saya menggoreng 'fish nugget' di house kitchen sampai berasap satu dapur dan membunyikan penggera asap seluruh house. Satu house tensen ngan saya.

Tamat A-Level, saya mendapat tawaran untuk menyambung pelajaran ke peringkat ijazah dalam bidang perubatan di University of Liverpool. Saya cuma dapat belajar setahun di sana sebelum terpaksa pulang ke tanahair kerana gagal meneruskan pelajaran ke tahun 2. Sebelum balik ke Malaysia, saya pernah bekerja sementara di Liverpool sebagai tukang cuci (street cleaner). Semasa bekerja di sana saya sering ternampak seorang bintang pasukan Everton .. Campbell yang selalu menginap di hotel berhampiran.

Sekarang saya sudah pulang ke tanahair dan masih belajar di peringkat ijazah dalam bidang farmasi di UKM Kampus KL. Masih lama lagi sebelum saya tamat dan apa yang menanti saya dua atau lima tahun lagi masih menjadi tanda tanya. Perkara yang berkaitan dengan UKM saya asingkan ke laman yang lain, check it out.

 

Selamat Datang ¤ Keluarga ¤ Sekolah ¤ Buat Laman Web ¤ Album