A

yang sering berpindah-randah...

Keluarga saya berketurunan Melayu dan kami sekeluarga berdarah utara. Ayah saya, Hj. Abu Hassan Hj. Md Akhir berasal dari negeri Kedah manakala ibu saya pula, Hjh. Fadziah Hj. Razali dari negeri Perlis. Mereka mula bertemu semasa bersekolah di sebuah sekolah menengah di ibu negara. Mereka telah berkahwin pada tahun 1972 dan mendapat anak pertama iaitu kakak saya Syahrul Syafiza pada tahun 1975. Ketiga-tiga anak yang lahir seterusnya adalah anak lelaki iaitu saya yang lahir di Kuantan pada tahun 1978, Syahril Ahmad pada tahun 1982 dan Syahril Hafiz pada tahun 1984 (kedua-dua lahir di Kuala Lumpur).

Ayah saya lahir pada bulan Ogos 1949 dan berasal dari Kampung Telaga Mas, Mukim Telaga Mas, Alor Setar. Dari tamat belajar hingga sekarang telah bekerja sebagai pegawai kerajaan. Beliau sering dipindahkan ke merata tempat di Malaysia membuatkan kami sekeluarga turut bersama beliau setiap kali berlaku pertukaran tempat kerja. Ibu saya pula lahir pada bulan Julai 1950. Beliau dibesarkan di sebuah kampung di Jejawi, Perlis. Asalnya merupakan seorang guru dan kini telah menjadi seorang suri rumah sepenuh masa.

Keluarga kami ini pernah berpindah banyak kali ke serata tanahair seperti Kedah, Pahang, Perak, Sabah dan Kuala Lumpur. Ini membuatkan saya tidak pernah kekal di sesebuah sekolah lebih dari 3 tahun. Bukan mudah untuk menyesuaikan diri di tempat baru dan bukan mudah untuk meninggalkan kawan-kawan yang semakin rapat tetapi itulah yang sering saya dan adik beradik saya hadapi semasa masih bersekolah. Pengalaman untuk tinggal di beberapa tempat di tanahair sendiri banyak membantu saya menjadi lebih berpengetahuan tentang keadaan penduduk dan tempat tertentu selain dapat belajar pelbagai dialek yang berbeza.

Walau pun telah banyak kali berpindah, keluarga kami paling lama menetap di Kuala Lumpur iaitu di Taman Melawati. Oleh sebab itu saya sering mengaku saya berasal dari Kuala Lumpur kerana definisi 'asal' adalah berbeza antara individu dan agak kompleks untuk menerangkan tempat asal saya kepada seseorang terutama yang baru saya kenali.

Antara kami adik beradik hanya seorang sahaja yang telah bekerja iaitu kakak saya (jurutera); dan beliau jugalah satu-satunya yang telah berumah tangga. Beliau telah dikurniakan tiga orang anak.

Adik saya yang pertama, Syahril Ahmad dilahirkan dalam keadaan yang istimewa bebanding dengannn adik-beradik lain. Beliau didiagnos sebagai penghidap Apert's Syndrome. Beliau tidak bersekolah tetapi sedia menemani sesiapa sahaja yang ada di rumah. Beliau merupakan adik yang manja tetapi panas baran. Keadaan di rumah sentiasa ceria dengan kehadiran beliau yang suka bermain, berlari-lari di dalam rumah. Tetapi tuhan lebih menyanyagi beliau dan pemergian beliau pada tanggal 30 November 2002 begitu mengejutkan bagi kami semua. Masih banyak perkara yang ingin kami lakukan bersama namun takdir telah menentukan yang beliau tidak kekal lama bersama kita. Semoga roh beliau dicucuri rahmat.

Gambar-gambar di bawah adalah gambar keluarga saya. Satu diambil pada tahun 1999 (kiri) dan yang lagi satu pada Hari Raya Aidilfitri 2002 (kanan). Yang berdiri di hujung kanan gambar 2002 ialah abang ipar saya, Israd Hakim b. Jaafar.


Potret keluarga, 1999.


Potret keluarga, 2002.

 

Selamat Datang ¤ Keluarga ¤ Sekolah ¤ Buat Laman Web ¤ Album